Wednesday, July 08, 2009

impian semalam

Kita hanya mampu merancang, Tuhanlah yang menentukan segala-galanya. Dia yang membuat segala ketetapan , Dia juga yang memutuskan takdir setiap makhluk ciptaan-Nya. Sebagai hamba Allah yang serba kamil, tabahkanlah hati untuk terus berjuang meniti hari perancangan titian kehidupan yang tidak dipinta pertemuannya dengan kegagalan, onak duri dalam kehidupan. Dalam rela mahupun terpaksa, redha mahupun pasrah, segala yang terjadi berserahlah, itukan takdir yang telah tersurat. Pasti ada hikmahnya tersendiri yang tersirat.

Pagi nirmala. Perjalanan panjang dalam kapal terbang benar-benar memenatkan badanku. Alhamdulillah aku selamat sampai ke tanah airku, negaraku Malaysia. Hampir lima tahun aku menahan desakan hati untuk pulang ke pangkuan ayahbonda. Saat yang ku tunggu-tunggu telah tiba penyudahnya. Kini, aku berjaya memiliki Ijazah Sarjana Kejuruteraan Elektrik. Kejayaan yang selama ini aku idamkan. Sejak kecil aku memasang angan-angan tinggi untuk menjadi seorang jurutera elektrik. Laungan azan yang berkumandang dari radio teksi menyapa ke telinga dan mematikan lamunanku. Hatiku tiba-tiba sayu, dipenuhi rindu. Sekaligus menghidupkan kembali kenangan-kenangan silam dalam hidupku. Kenangan yang telah lama ku cuba tinggalkan, namun tidak pernah cuba untuk melupakan. Hampir lima tahun aku berjaya menghadapi segala kesedihan, akhirnya aku tewas. Sebaik saja kakiku kembali menjejakkan kaki ke tanah tumpah darahku, aku sebak. Aku terlalu merinduinya.


Ya, aku akui dan tak pernah aku nafikan aku amat menyayangi dirinya, satu-satunya insan di dunia ini yang sering menemaniku suatu ketika dahulu dan orang yang bertanggungjawab sehingga aku berjaya membawa pulang kejayaan yang pernah diharapkan oleh ayah daripadanya suatu masa dulu. Arif Haikal, nama penuh makna. Nama yang pernah dibanggakan oleh ayah, malah seluruh kampung dan juga sekolah. Bukan saja terkenal dengan kepintaran di kelas, kehebatan di padang, paras rupa yang sempurna malah merupakan contoh dan ikutan setiap ibubapa terhadap anak-anak mereka. Kerana dia insan yang ku panggil 'abang', sangat berbudi bahasa, abang juga menghormat orang tua. Abang dihormati, disegani, diminati dan disanjungi dalam usia yang teramat muda. Kerana abang jugalah ayah dipilih menjadi pengerusi PIBG sekolah. Semua itu cukup membuatkan ayah berbangga dan menyayangi abang. Apabila abang lahir, ayah tidak teragak-agak untuk membayar nazarnya dengan menumbangkan seekor lembu. Berlainan pula denganku, ayah mengharapkan anak lelaki sewaktu ibu mengandungkanku. Namun, ayah hampa kerana ibu melahirkan Ariesya Damya iaitu aku. Tambahan lagi, setelah aku dilahirkan ibu disahkan tidak boleh mengandung lagi. Kata ayah kehadiranku menyebabkan harapannya untuk memiliki sekurang-kurangnya tiga orang anak lelaki hancur musnah.

Ah, ayah bercakap seperti orang yang tiada pegangan agama! Berlainan dengan ibu, ibu menganggap semua itu takdir Allah dan tidak pernah menyalahkan aku. Dan kerana itulah ayah amat menyayangi abang dan selalu membeza-bezakan abang denganku. Batapa kolotnya ayah, apa saja barang yang dibelikan untuk abang jarang sekali dibelikan untukku. Hebat sekali kebencian ayah padaku. Namun abang tidak pernah lokek denganku, setiap barangnya pasti dikongsi bersama ku. Barangkali rasa tanggungjawab serta kasihan terhadap diriku. Kadang-kadang aku cemburu akan abang. Dia memiliki segalanya sedangkan aku hampir kekurangan semuanya.

Yang paling memilukan, apabila ayah memarahiku kerana keputusan UPSRku kurang memuaskan. Ayah sengaja mencari salahku padahal aku demam panas sewaktu peperiksaan berlangsung. Tetapi aku masih bernasib baik mempunyai ibu dan abang yang memahami dan menyayangiku. Abang amat baik denganku, tak pernah sekalipun dia bersikap seperti ayah. Aku rasa akulah insan yang paling beruntung di dunia ini kerana dikurniakan seorang abang sebaik Arif Haikal. Pernah satu ketika aku membencinya, semuanya gara-gara wang sakuku dipotong oleh ayah untuk menampung kelas tambahan abang. Ayah memang tidak adil. Aku memarahi abang, malah aku menuduhnya yang bukan-bukan, ku hamburkan kata-kata kesat untuk meluahkan ketidakpuasan hatiku terhadapnya. Abang terpaku dan kemudian aku membisu. Abang memohon maaf. Dan dia melafazkan kata-kata yang sehingga kini masih segar diingatanku, "Damya tetap adik abang dunia akhirat, abang sayangkan Mya, abang akan jaga Mya dan abang takkan biarkan Mya menderita walaupun golong gantinya. Itu janji abang." Ku dakap erat tubuh sasa abang sambil menangis. Sambil merintis hiba. Abang sering meningatkanku tentang solat. Dan sering mengajakku berjemaah. Aku sungguh mengaguminya.

Sikap abang yang terlalu baik telah menyebabkan ayah mengambil kesempatan terhadapnya. Apabila keputusan abang cemerlang dalam SPMnya, ayah hanya menyuruhnya mengambil STPM saja. Alasannya supaya lebih bersedia untuk ke universiti kelak. Ayah mahu abang menjadi seorang doktor, tetapi abang mahu menjadi seorang ahli perniagaan, abang mengalah apabila didesak ayah. Lain pula denganku, walaupun aku cemerlang dalam PMR. Aku tidak memohon mana-mana asrama penuh. Aku akan buktikan pada ayah bahawa aku anak perempuan yang mampu berdiri sendiri dan aku seorang yang keras hati. SPM akan muncul tidak lama lagi, begitu juga dengan abang. STPMnya akan bermula dua bulan saja lagi tetapi dalam sekelip mata keadaan abang berubah, dia sibuk mengulangkaji pelajaran di perpustakaan sehingga aku mengalah. Abang semakin kurus dan cekung menyebabkan ibu dan ayah risau akan keadaannya. Akhirnya segala teka-teki yang bersarang dimindaku kini terbongkar jua apabila panggilan telefon yang menyatakan abang ditangkap menghisap dadah seminggu sebelum SPM benar-benar menghancurkan hatiku. Aku terkedu. Ayah terpaku, ibu membisu dan buat pertama kalinya ayah menampar abang di depan mataku sendiri dan tidak mengaku bahawa abang adalah anaknya. Aku tahu kenapa abang jadi begitu. Ku renung wajahnya dan die menguntum senyum. Ini semua gara-gara ayah. Ini semua disebabkan tekanan yang ayah berikan terhadap abang yang menyebabkan abang memilih ke kancah najis itu sebagai jalan penyelesaian. Aku terkedu masa abang dibawa semakin hampir kepadaku. Abang memelukku erat dalam dakapannya lalu mengucup dahiku, "Belajar rajin-rajin wahai adikku yang amat abang sayangi. Tunaikan impian kita". Kemudian abang memeluk ibu dan minta diampunkan dosanya. Ku lihat airmata abang mengalir tanpa henti, begitu juga bagiku. Ayah pula hilang entah ke mana. Aku bersama ibu sahaja yang menemani abang ketika dia dimasukkan ke pusat pemulihan akhlak. Peperiksaan SPM akan ku tempuhi dengan perasaan tidak keruan namun ku gagahkan jua. Aku mencuba sedaya upaya dengan dorongan dari ibu dan ku panjatkan doa memohon dari Allah supaya ditabahkan hatiku yang daif ini. Penantianku berakhir. Peperiksaan itu telah selamat aku duduki dengan jayanya walaupun tanpa orang tersayang. Aku pergi melawat abang selepas sekian lama wajahya tidak ku tatap. Kini abang menjadi Arif Haikal yang dulu, tetapi wajahya kelihatan pucat, mungkin dia ingin melawan ketagihan dadahnya.


SPM diumumkan, syukur 12 1A berjaya ku genggam dan orang yang pertama mengetahuinya ialah Abang Arif, lima bulan kemudian aku ditawarkan ke Universiti of Salford, Manchester, United Kingdom dengan tajaan TNB. Ketika itu aku sedang menyiapkan persediaan untuk ke sana, telefon berdering nyaring dan aku berlari unuk mendapatkannya. Ya Allah! Hancur luluh hatiku, mataku berpinar bagaikan dunia kini gelap apabila mendapat berita itu. Setibanya aku di hospital tempat abang dimasukkan, abang sedang terbaring dan berbisik kepadaku, "Dik, jaga ibu dan ayah baik-baik, belajar rajin-rajin, selalu ingat Tuhan, abang dah tak mampu nak jaga ibu dan Mya. Abang dah kesuntukan masa dik. Jagalah dirimu baik-baik wahai adikku Ariesya Damya. Sesungguhnya abang ingin sekali melihat kau berjaya dan bahagia dalam hidupmu. Namun abang tidak diberi kesempatan waktu untuk melihat detik itu. Semoga kita berjumpa ladi di akhirat kelak. Abang akan menunggumu di sana dan sampaikan sembah salam, ampun maaf abang kepada ayah," perlahan suara abang namun masih jelas di pendengaranku, ibu terpaku. Abang menutup matanya sejurus mengucapkan dua kalimah syahadah. Doktor mengesahkan abang menghidap kanser otak yang kritikal."Abang pergi di saat Mya masih memerlukan restumu, kekuatanmu untuk meniti hari mendatang yg penuh liku. Mya tak dapat menerima pemergian abang". Pemergian abang masih bersisa semasa aku berangkat ke Uk. Aku amat terkilan dengan tindakan ayah kerana tidak melihat abang ketika di saat-saat akhirnya. Ayah memang tidak berhati perut. Kejamnya ayah!

Lamunanku terhenti apabila pemandu teksi mengatakan aku telah tiba di destinasi yang ingin ku tujui. Tempat aku dilahirkan dan dibesarkan. Aku mengesat airmata. Ingin aku pergi menziarahimu. Tunggu sahaja aku di situ. Takkan ku lupa setiap jaza dan pengorbananmu. Abang, aku pulang kini bersama-sama impian yang kita idamkan bersama. Pulang untuk menziarahimu atau merealisasikan janjiku kepadamu. Dan aku pulang untuk melihat sisa-sisa keegoan ayah. Hatuki berdebar kini. Namun namamu, Arif Haikal akan kekal disanubari adikmu Damya Ariesya, abadi selamanya....


-ceewaaahhh ! jiwang abis nih . hahaha :)) seperti yang telah aku janjikan oke .
so, bacelah. n komen klu terasa rajin na komen .

10 comments: