Tuesday, October 20, 2009

titipan buat warga INDONESIA :)

Wahai saudaraku di seberang sana
Kau mungkin terlupa di mana kita bermula
Kau mungkin terlupa dari mana asal kita
Kau mungkin terlupa semuanya…

Ingin aku ingatkan kepadamu
Kita serumpun, kita selalang
Nenek moyangmu yang mungkin juga generasiku
Lahir di sini, membesar di sini, zuriatnya juga di sini
Di sebuah kepulauan Nusantara
Yang pasti rumpunnya Melayu

Bahasaku bukan Bahasa Malaysia
Mahupun Bahasa Indonesia
Kerana ini Bahasa Melayu
Bahasa bangsaku yang meniti di bibir aku dan engkau
Jadi jangan kau kata aku maling bahasamu

Kepulauan kecil yang bersepah semak
Juga bukan milik aku
Apatah lagi engkau
Kerana kita berdiri di atas tanah yang sama
Hanya terpisah tenggelam oleh air lautan

Tarianku bukan hak milikku
Begitu juga tarianmu
Kerana kita sebenarnya peminjam tarian
Yang entah dari mana, aku tak tahu
Hindu, Arab…aku tidak peduli
Kerana kita sama saja!

Wahai saudaraku
Dek ceteknya pemikiranmu itu
Lantas kau terus memberontak
Membingitkan jalanan melaung ‘Ganyang Malaysia’
Memekik merengek meminta perhatian

Dek sinisnya pandangan sepetmu itu
Lantas kau terus melancarkan serangan
Menahan pelajar yakni rakanku
‘Sweeping Orang Malaysia’ kononnya
Tapi hama pun tidak kau dapati

Saudaraku,
Bukalah mindamu itu seluas-luasnya
Apa gunanya Tuhan berikan kau akal
Yang membezakan manusia dari haiwan
Bukankah untuk berfikir semasak-masaknya
Sebelum kau mengambil tindakan murahan
Menjaja muka di kaca televisyen, surat kahabar
Malah laman sesawang yang bisa kau jeritkan
Suara hatimu itu

Jangan kau sepetkan lagi matamu itu
Bukalah matamu, jangan dibiar tutup
Lihatlah sepenuh dan sepuasnya hatimu
Lihatlah beda yang ada antara aku dan engkau
Aku pasti engkau hanya akan jumpa persamaan
Tiada perbezaan, tiada perbedaan

Namun tak semuanya bisa kau terima
Aku memahami rentak hatimu
Yang tetap keras kerikil
Tapi jangan sesekali kau lupa
Aku juga punya perasaan
Aku juga punya amarah
Aku punya sabar
Dan pasti ada limitasinya

Jangan pernah kau cuba
Membuat aku melintas garisan halus ini
Sabar yang ku pendam akan meletus
Seperti Krakatoa yang menangis membadai negaramu
Kerana aku akan lakukan apa saja
Walau harus aku syahid
Demi negaraku Malaysia !

No comments:

Post a Comment